Search

Kilang simen di Tongod masih peringkat bersih tapak – Masiung

April 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pembinaan kilang simen bernilai RM1.2 bilion di Tongod, masih di peringkat penyediaan tapak dan berjalan seperti yang dirancang selepas dilancarkan kira-kira setahun lalu.

Pengerusi Borneo Cement Sabah Sdn Bhd (BCS), Datuk Masiung Banah, berkata projek itu dilaksanakan secara berperingkat mengikut kelulusan kajian kesan alam sekitar (EIA).

Beliau menyangkal dakwaan pihak yang mengatakan projek itu gagal dan hanya dijadikan alasan untuk mengambil kayu balak yang ada di kawasan berkenaan.

Katanya dakwaan projek itu bakal memudaratkan alam sekitar dan kesihatan penduduk di Tongod juga adalah tidak benar kerana ada empat proses EIA yang perlu dilepasi.

“Sekarang projek itu dimainkan oleh pembangkang seolah-olah kilang simen itu memudaratkan alam sekitar dan kesihatan penduduk, tapi sebenarnya pembinaan kilang ini banyak prosedurnya, ada empat EIA yang perlu diikuti, iaitu EIA tapak, EIA untuk kuari, EIA buat bangunan dan EIA membina jalan raya.

“Dakwaan mengatakan projek itu hanya alasan untuk mengambil kayu balak tidak masuk akal kerana di sana hanya batu kapur, tiada kayu balak besar tumbuh di kawasan itu, lagipun hanya 200 ekar saja, bukan ribuan ekar,” katanya.

Masiung Banah

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu mengulas mengenai isu kilang simen terbabit ketika ditemui pada rumah terbuka Aidilfitri, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Masiung berkata, dakwaan yang mengatakan pelabur projek itu lari juga hanya rumusan pihak pembangkang sedangkan projek berkenaan masih di peringkat pembersihan tapak kerana baru EIA untuk tujuan itu diperolehi setakat ini.

“Soal infrastruktur lain, iaitu elektrik akan dibekalkan dari Nabawan, manakala jalan raya dibina oleh pihak pelabur sepanjang 26 kilometer.

“Bagi keperluan air untuk kilang itu pula, sebuah loji air menggunakan sumber dari sungai berhampiran akan dibina untuk memenuhi keperluan kilang berkenaan, jadi tiada masalah,” katanya.

Beliau berkata, apa yang penting kilang berkenaan disasar untuk mewujudkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan kepada warga tempatan, khususnya rakyat di Tongod, sekali gus membantu mengatasi isu kemiskinan di daerah itu.

“Kita sudah buat libat urus untuk memberi kefahaman kepada penduduk mengenai projek ini dan mereka faham, kita dapat sokongan padu masyarakat, mereka sokong kerana mendapat tempiasnya nanti.

“Ini peluang rakyat di Tongod untuk mendapat kerja di sana nanti, cuma mungkin kerja teknikal seperti jurutera kita buka kepada masyarakat dari seluruh Sabah,” katanya. – Info X