Search

Pasangan warga Perancis ditemui selamat selepas dilapor sesat

April 28, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Suami isteri warga Perancis ditemui selamat selepas tersesat ketika melakukan aktiviti ‘hiking’ di Rainforest Discovery Centre (RDC), di sini, hari ini.

Santarelli Antolne Pierre, 36 dan isterinya Girodet Charlene, 36, itu ditemui oleh renjer RDC yang menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR), pada jam 3.08 petang.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mangsa sesat di hutan, pada jam 1.24 tengah hari.

“Menurut pemanggil (mangsa), dia bersama isterinya sesat di hutan ketika menjalankan aktiviti hiking.

“Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan bersama renjer RDC ke lokasi mangsa sejauh tujuh kilometer dari pintu masuk melalui jalan darat,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Pasangan suami isteri yang tersesat di hutan di RDC Sandakan ditemui selamat.

Menurutnya, pasangan itu berjaya ditemui oleh renjer RDC yang ikut serta dalam operasi berkenaan melalui jalan laut menggunakan bot.

“Kedua-dua mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat. Mangsa seterusnya dibawa ke Kampung Bambangan melalui jalan laut kerana jarak hanya dua kilometer berbanding menggunakan jalan darat.

“Seterusnya dibawa balik semula ke RDC menaiki kenderaan Jabatan Perhutanan untuk tindakan lanjut,” katanya. – Info X