Search

Warisan lebih serius selesaikan isu PATI – Terence Au

April 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Warisan menegaskan jumlah pendatang asing tanpa izin (PATI) dihantar pulang ketika kerajaan Warisan selama 26 bulan sebelum ini lebih ramai berbanding ketika kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), sekarang.

Ketua Wiranya, Terence Au, berkata berdasarkan jawapan bertulis Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, hanya seramai 28,738 PATI dihantar pulang dalam tempoh hampir lima tahun ketika kerajaan GRS-PH.

Sebaliknya, beliau berkata jika dibandingkan jumlah PATI dihantar pulang dalam tempoh 26 bulan kerajaan Warisan memerintah dari 2018 hingga 2020, pencapaian kerajaan sekarang lebih rendah.

“Mengikut jawapan bertulis Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Parlimen pada 2021, sejumlah 31,578 PATI dihantar balik selama 26 bulan pemerintahan Parti Warisan Plus di bawah kepimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Warisan Plus – 31,578 dalam tempoh 26 bulan, sedangkan GRS+PH – 28,738 selama hampir lima tahun menjadi kerajaan.

“Perbezaan ini menunjukkan bahawa Warisan lebih serius dan komited dalam menunaikan amanat rakyat Sabah yang mahu melihat isu PATI ini diselesaikan,” katanya pada sidang media di pejabat Warisan, di Kolombong pada Isnin.

Beliau berkata, GRS-PH bukan saja gagal menyaingi jumlah penghantaran pulang PATI dibuat Warisan, malah sepanjang hampir lima tahun pemerintahan mereka jumlah penduduk bukan warga negara meningkat.

“Jumlah penduduk Sabah bukan warganegara meningkat kepada 1,043,400 orang dengan penambahan drastik berlaku dari tahun 2023 hingga 2024 iaitu seramai 279,200 orang.

“Selain itu, SMART Sabah juga telah mengumpul seramai 107,717 warga asing dan PATI, diputihkan agar dapat dijadikan buruh asing. Kenapa tidak biarkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Sabah lakukan tugas ini?

“Jeffrey Kitingan pula mengakui sejumlah 100,000 warga asing telah diputihkan oleh Jabatan Imigresen Sabah dari 2023.

“Mana sudah janji Kerajaan GRS untuk menghalau semua PATI dari Sabah? Kenapa apabila kerajaan Warisan buat pemutihan bagi memenuhi permintaan tenaga buruh asing, Warisan dikecam dengan pelbagai tuduhan?

“Tapi bila GRS menjadi kerajaan, mereka tidak tunggu lama untuk buat pemutihan,” katanya.

Jelasnya, Pembantu Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan sendiri mengatakan mana-mana warga asing dan PATI yang berdaftar dengan SMART Sabah boleh memohon kewarganegaraan.

“Jawapan itu diberikan oleh Ketua Penerangan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) itu di DUN pada 25 April 2024.

“Dulu mereka katakan Warisan menternak PATI tapi sekarang yang terbukti menternak PATI adalah GRS-PH sendiri bukan Warisan,” katanya. – Info X