KOTA KINABALU: Sebuah syarikat dalam industri pembinaan yang baru bertapak di Sabah menawarkan kepakaran dalam membantu menangani isu infrastruktur di negeri ini, khususnya berkaitan jalan raya.
Syarikat terbabit, Beacon Solution Facility Sdn Bhd bersedia membawa masuk teknologi kejuruteraan terkini dari China, khususnya dalam teknologi pembinaan cerun dan terowong.
Pengarah Eksekutifnya, Alken @ Lew Hon Chong, berkata walaupun baru bertapak di Sabah, syarikat itu sudah melaksanakan beberapa projek di Semenanjung, khususnya di Kelantan.
Katanya, beliau sendiri berpengalaman lebih 20 tahun dalam industri pembinaan di China, terutama berkaitan teknologi pembinaan cerun dan terowong di negara itu.
“Jadi saya mungkin akan memperkenalkan beberapa perkara baharu dari China seperti terowong dan apa saja yang sesuai dari negara itu.
“Saya akan bawa kontraktor dan vendors bersama teknologi baharu untuk membina jalan raya di sini dan apa saja infrastruktur yang kita boleh laksanakan.

“Antaranya teknologi untuk pembinaan cerun di kawasan pergunungan dan kerja pembinaan terowong kerana ada banyak bukit dan gunung di sini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis perasmian operasi syarikat itu di Sabah dan sambutan Aidilfitri bersama warga syarikat dan jemputannya di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, pada Ahad
Sempena majlis itu, syarikat berkenaan turut memberi sumbangan kepada 24 anak yatim dari Rumah Amal Kasih, Kingfisher di Likas.
Alken berkata, China terkenal dengan kecanggihan infrastruktur sejajar slogan negara itu yang menekankan perlunya jalan raya yang baik bagi mewujudkan kemakmuran di sesebuah negeri.
Atas sebab itu juga, katanya syarikatnya mahu mengambil peluang untuk terbabit dalam pembinaan infrastrukur, khususnya jalan raya di Sabah.
Sementara itu, Pengarah Beacon Facility, Mohd Saiffullizaw Awang, berkata pihaknya menyasarkan untuk meneroka peluang industri pembinaan di Sabah, termasuk dalam pembangunan Lebuhraya Pan Borneo.
Katanya, syarikat itu juga mahu membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada penduduk di negeri ini menerusi projek yang bakal dilaksanakannya nanti.
“Kita cuba masuk sebagai kontraktor untuk projek infrastruktur dan akan melakukan yang terbaik, memandangkan jalan raya di Sabah pun agak teruk,” katanya.
Selain pembinaan jalan raya, katanya syarikat itu juga pernah terbabit dalam pembinaan kilang bateri kenderaan elektrik (EV) dan pusat data, selain tidak ketinggalan melaksanakan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR).
Ends
Pix – Alken dan Mohd Saiffullizaw bersama warga Rumah Kasih Amal Kingfisher pada sambutan Aidilfitri Beacon Facility di SICC. – Info X