Search

Lelaki ditahan selepas acu parang panjang di sebuah premis di Sandakan

April 29, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Seorang lelaki ditahan selepas membawa sebilah parang panjang dan mengganggu ketenteraman awam dalam kejadian di sebuah premis di Bandar Indah, di sini, semalam.

Suspek berusia 27 tahun ditahan sepasukan polis dari Unit Kereta Peronda (MPV) dan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan, kira-kira jam 11 pagi.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Ahsmom Bajah berkata, pihak polis menerima maklumat daripada pusat kawalan daerah (DCC) Sandakan mengenai seorang lelaki yang disyaki mengamuk sambil membawa senjata tajam.

“Hasil tindakan segera di lokasi, anggota polis berjaya menangkap suspek.

“Polis turut merampas sebilah parang panjang berukuran 70 sentimeter,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Parang panjang berukuran 70 sentimeter yang dirampas.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Sementara itu, beliau menegaskan komitmen untuk terus memastikan keselamatan awam dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang menggugat ketenteraman masyarakat. – Info X