Search

Jangkitan HFMD: 5 sekolah ditutup, 4,385 kes dikesan sejak Januari

May 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Lima sekolah ditutup sepenuhnya selepas dikesan menjadi kluster penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) antara 1 Januari hingga 19 April tahun ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Maria Suleiman, berkata sekolah terbabit adalah antara 10 sekolah yang dikesan menjadi kluster HFMD, dengan baki lima lagi sekolah hanya membabitkan penutupan sebahagian kelas.

Katanya, setakat 19 April 2025, sebanyak 4,385 kes HFMD direkodkan di Sabah dengan kebanyakan kes membabitkan kanak-kanak berumur di bawah tujuh tahun.

“JKNS mengambil maklum mesej yang tular di media sosial pada 25 April 2025 berhubung kes HFMD yang semakin meningkat di Sabah hingga beberapa sekolah menerima arahan penutupan kelas.

“Jumlah kes HFMD di Sabah dari 1 Januari 2025 sehingga 19 April 2025 adalah sebanyak 4,385 kes, dengan 83 peratus daripada keseluruhan kes ini adalah melibatkan kanak-kanak berumur di bawah tujuh tahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata lima daerah melaporkan kumulatif kes tertinggi HFMD setakat ini iaitu Kota Kinabalu sebanyak 705 kes, diikuti Papar (578 kes), Penampang (450 kes), Keningau (431 kes) dan Tawau (262 kes).

Bagaimanapun, katanya kesemua kes adalah ringan dan hanya memerlukan rawatan pesakit luar tanpa melibatkan kes di ICU atau berlaku kematian.

Katanya, majoriti jangkitan HFMD yang dilaporkan berlaku di rumah atau pusat pendidikan awal kanak-kanak seperti taska, tadika dan pra-sekolah.

Jelasnya, arahan penutupan sekolah akibat HFMD bersifat sementara bagi membolehkan siasatan lanjut dan kerja-kerja pembersihan serta disinfeksi untuk memutuskan rantaian jangkitan dijalankan.

“Langkah kawalan yang diambil melibatkan siasatan kes, persampelan makmal, promosi kesihatan dan pemeriksaan premis berisiko berdasarkan Garis Panduan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pemeriksaan ini dilakukan bagi menilai tahap kebersihan dan keberkesanan disinfeksi terutama dalam populasi berisiko,” katanya.

Beliau seterusnya menyarankan ibu bapa dan penjaga supaya mengamalkan langkah pencegahan seperti mencuci tangan sebelum makan dan selepas menggunakan tandas serta memastikan permainan, bilik air dan barangan yang kerap disentuh dibersihkan secara berkala menggunakan sabun, air atau cecair disinfeksi.

Selain itu, katanya barangan peribadi seperti cawan, tuala dan berus gigi tidak boleh dikongsi.

“Kanak-kanak bergejala perlu segera mendapatkan rawatan dan dilarang menghadiri pusat jagaan atau tempat awam untuk mengelakkan penularan jangkitan HFMD.

“Maklumat lanjut pencegahan HFMD boleh diperoleh dari laman infosihat.moh.gov.my, Facebook KKM dan Facebook JKNS.

“Pihak JKNS juga akan terus memantau dan mengemas kini maklumat berkaitan dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X