TAMBUNAN: Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 1992 akan digantikan dengan enakmen baharu bagi memperkemas struktur Mahkamah Anak Negeri dan memperkasa institusi kehakiman itu.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata usaha ke arah itu sedang dilaksanakan bagi memastikan agar prosiding di Mahkamah Anak Negeri lebih berkesan dan relevan.
Katanya, Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEANS) sudah menyediakan draf enakmen baharu itu, iaitu Enakmen Mahkamah Anak Negeri Sabah 2025 yang kini sedang diteliti oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri.

“Draf ini memerlukan ulasan daripada Pejabat Peguam Besar Negeri, Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri dan Kementerian Kewangan sebelum diangkat kepada Jemaah Menteri dan seterusnya dibentangkan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pesta Kaamatan 2025 di Dewan Terbuka Pisompuruan Pekan Tambunan, di sini, pada Khamis.
Hajiji berkata, langkah itu adalah salah satu daripada banyak inisiatif yang dilaksanakan kerajaan untuk memberi manfaat kepada rakyat di peringkat akar umbi. – Info X