Search

Kapal kargo bawa 150,000 liter petrol ditahan

May 2, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Sebuah kapal kargo disyaki membawa muatan kira-kira 150,000 liter petrol tanpa kebenaran ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di kedudukan 9.5 batu nautika dari barat laut Tanjung Bidadari, semalam.

Penahanan itu dilakukan pada jam 5.15 petang oleh Kapal Maritim (KM) Peringgi ketika melaksanakan Op Sejahtera, Op Pluto Timur, Op Khas Cegah PATI (OCP) Utara Covid-19 dan Op Tiris di kawasan berkenaan.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, Sebuah kapal kargo bergerak dalam keadaan mencurigakan dikesan di posisi berkenaan sebelum KM Peringgi bertindak menghampiri untuk pemeriksaan lanjut.

“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati kapal kargo itu dikendalikan oleh seorang tekong dan empat awak-awak yang terdiri daripada tiga warga tempatan dan dua warga Filipina, berusia antara 22 hingga 64 tahun.

“Semua mereka memiliki dokumen pengenalan diri yang sah. Namun pemeriksaan lanjut mendedahkan bahawa kapal kargo itu membawa muatan disyaki minyak petrol berjumlah kira-kira 150,000 liter tanpa sebarang kebenaran bertulis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tekong bersama awak-awak kapal kargo ditahan kerana membawa muatan 150,000 liter petrol tanpa kebenaran di perairan Sandakan. – Foto/APMM

Menurutnya, kapal kargo itu ditahan dan tekong serta awak-awak diiring ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat APMM bagi tindakan lanjut kerana dipercayai melanggar peruntukan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

Katanya, APMM akan terus mempertingkat rondaan serta penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan bahan kawalan dan pelanggaran undang-undang di perairan negara.

“Tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan secara haram.

“Orang awam diminta untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kegiatan jenayah maritim atau kecemasan di laut dengan menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504 atau talian kecemasan 999 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – Info X