Search

Hari Pekerja: Hargai sumbangan semua lapisan masyarakat, termasuk wanita – Jannie Lasimbang

May 2, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang menegaskan kepentingan menghargai sumbangan semua lapisan masyarakat dalam pembangunan negara tanpa mengira latar belakang, jantina atau sektor pekerjaan.

Sempena Hari Pekerja pada 1 Mei, wakil rakyat DAP itu, berkata wanita sudah lama menjadi tunjang kepada keluarga dan komuniti, memainkan peranan penting dalam bidang pendidikan, kesihatan, pertanian, sektor awam dan keusahawanan kecil.

Bagaimanapun, katanya isu ketidaksamarataan gaji dan peluang kenaikan pangkat masih berlaku, sedangkan ramai wanita melaksanakan tugas yang setara dengan lelaki, namun menerima ganjaran yang lebih rendah.

“Situasi ini bukan saja menjejaskan kesejahteraan wanita, malah menyekat potensi ekonomi negara secara keseluruhannya,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Pekerja 2025 pada Khamis.

Jannie berkata, sejak memegang jawatan, beliau memperuntukkan lebih RM700,000 untuk inisiatif pembangunan komuniti di Kapayan, termasuk latihan keusahawanan, celik kewangan dan geran mikro khas untuk wanita.

Katanya, separuh daripada 17 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang dilantik di bawah kepimpinan beliau jugs diterajui oleh wanita.

“Ini membuktikan bahawa wanita juga mampu memimpin dan melaksanakan tugasan mencabar dengan cekap dan berkesan.

“Pengerusi-pengerusi JKKK wanita ini menjadi contoh di peringkat akar umbi dan memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda pembangunan setempat serta menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita dalam kepimpinan komuniti,” katanya.

Katanya, beliau percaya bahawa keupayaan untuk memimpin dan menyumbang tidak ditentukan oleh jantina tetapi menerusi kecekalan dan komitmen untuk berkhidmat.

Beliau bagaimanapun turut menghargai peranan lelaki yang terus menjadi rakan seiring dalam memperjuangkan kemajuan yang lebih seimbang antara jantina.

Sehubungan itu, Jannie menyeru agar dasar gaji setara dan polisi kerja fleksibel diperluas, termasuk insentif kepada majikan yang mengamalkan pengambilan pekerja tanpa diskriminasi.

Katanya, perlindungan sosial untuk wanita dalam sektor tidak formal seperti penjaja, pengasuh dan petani kecil juga perlu diperkukuh.

Di samping itu, jelasnya penyediaan kemudahan penjagaan anak yang lebih menyeluruh khususnya kepada ibu tunggal dan balu yang bekerja juga harus diberi perhatian.

Selari dengan semangat itu, beliau menyambut baik penguatkuasaan pindaan Ordinan Buruh Sabah yang mula berkuat kuasa pada 1 Mei 2025.

“Pindaan tersebut melibatkan pengurangan waktu kerja mingguan, pelanjutan cuti bersalin, cuti paterniti serta perlindungan yang lebih kukuh terhadap gangguan seksual dan aduan berkaitan pekerjaan,” katanya

Beliau menyifatkan perubahan itu sebagai satu langkah besar ke arah keadilan dan kesejahteraan tenaga kerja di Sabah.

Katanya, Hari Pekerja adalah masa untuk menghargai semua pekerja, lelaki dan wanita, sama ada di bandar mahupun luar bandar, dalam sektor formal atau tidak formal.

“Setiap pekerja berhak dihargai, dilindungi dan dibayar dengan adil kerana merekalah nadi sebenar kemajuan negara,” katanya. – Info X