KOTA KINABALU: Seorang remaja perempuan maut, manakala adik perempuannya parah selepas dirempuh motosikal ketika melintas jalan di Jalan UMS, berhampiran Plaza Alam Mesra, di sini, malam tadi.
Ketika kejadian kedua beradik berusia 18 dan 14 tahun itu sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Delima, Manggatal, kira-kira jam 10 malam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, kejadian membabitkan dua pejalan kaki dan dua buah motosikal.
“Hasil siasatan awal mendapati, kejadian berlaku apabila seorang penunggang motosikal wanita sedang dalam perjalanan dari arah pusat bandar raya menuju ke Sepanggar.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, dua pejalan kaki (adik beradik) berkenaan tiba-tiba melintas jalan dari kanan ke kiri secara mengejut.
“Disebabkan jarak yang terlalu dekat dan tindakan melintas jalan secara tiba-tibaitu, penunggang motosikal terbabit tidak sempat mengelak lalu melanggar kedua-dua pejalan kaki berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kasim berkata, pelanggaran itu menyebabkan salah seorang daripada mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala seorang lagi parah dan dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Dalam masa yang sama, sebuah lagi motosikal yang tidak dapat dipastikan jenis dan nombor pendaftarannya dipercayai turut terbabit dalam kemalangan itu.
“Bagaimanapun penunggang motosikal berkenaan bertindak melarikan diri dari lokasi kejadkan dan identitinya masih belum dikenal pasti,” katanya.
Menurutnya, polis kini sedang giat menjalankan siasatan dan mengesan penunggang motosikal yang melarikan sebaik.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 iaitu menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau berbahaya.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu diminta tampil ke balai polis terdekat bagi membantu siasatan,” katanya. – Info X