SEMPORNA: Kementerian Pertahanan sedang meneliti bagi menggantikan Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah dengan konsep pangkalan hadapan yang baharu dan lebih berupaya pada masa akan datang.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya sentiasa berusaha meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan tanah air daripada sebarang ancaman.
Katanya, Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah yang kini hampir mencecah usia 10 tahun telah memainkan peranan sangat penting dalam memastikan keselamatan dan kedaulatan perairan timur Sabah.
“Namun, sudah tiba masanya kerajaan melihat kepada penyelesaian yang lebih lestari dan kukuh bagi menyokong operasi pertahanan negara pada masa kini.
“Saya difahamkan pangkalan ini telah beroperasi hampir sedekad dan ia telah memberi impak besar kepada keselamatan Sabah serta membantu menjayakan pembangunan terutama dalam sektor pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, pangkalan ini telah menyumbang kepada penurunan ketara insiden-insiden pencerobohan dan jenayah rentas sempadan di Zon Timur Sabah.
Bagaimanapun, katanya, beberapa kekangan dari segi infrastruktur seperti keupayaan pendaratan helikopter dan kebolehan kapal-kapal besar untuk merapati pangkalan menjadi antara faktor utama yang mendorong kepada rancangan penggantian.
“Sebagai contoh, helikopter yang boleh mendarat di pangkalan ini terhad kepada berat enam tan sahaja dan ini perlu diatasi dalam perolehan baharu nanti,” katanya.
Katanya, kerajaan juga sedang menimbangkan membina satu forward base baharu yang mungkin bersifat bergerak, berupaya bertindak lebih pantas dan fleksibel dalam menangani sebarang ancaman keselamatan di perairan Sabah.
“Kita belum memuktamadkan bentuk perolehan, namun yang pasti ia akan melebihi keupayaan pangkalan sedia ada,” katanya.
Mohamed Khaled turut menekankan pentingnya kesiapsiagaan serta kerjasama antara agensi dalam menghadapi ancaman berterusan.
“Ia termasuklah ancaman berbentuk ancaman bukan tradisional seperti kumpulan pengganas dan jenayah rentas sempadan, mahupun penculikan, penyeludupan dan pemerdagangan manusia.
“Kerajaan juga merancang untuk mempertingkat sistem pengawasan termasuk pemasangan radar tambahan di kawasan pantai timur Sabah bagi memperkukuh keupayaan pemantauan secara menyeluruh.
“Ancaman di Timur Sabah adalah berterusan dan kita tak boleh leka. Atas sebab itu, kita sedang merangka tindakan lebih jangka panjang bagi menjamin keselamatan negeri ini,” katanya.
Sementara itu, Mohamed Khaled berkata, kerajaan mengambil serius isu kelewatan projek pembinaan rumah kakitangan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kem Kukusan, Tawau yang kini dikategorikan sebagai projek gagal.
Katanya, projek bernilai sekitar RM77 juta yang telah diluluskan sejak tahun 2021 itu sepatutnya siap pada tahun ini.
“Namun, projek berkenaan masih terbengkalai dan gagal disiapkan mengikut jadual asal, menyebabkan anggota dan pegawai tentera terpaksa menyewa rumah di luar kem.
“Keadaan ini tidak boleh diterima. Ia menjejaskan kesejahteraan hidup anggota tentera kita yang sepatutnya diberi perhatian utama,” katanya.
Justeru, katanya, kementeri telah mengarahkan kontraktor sedia ada ditamatkan serta-merta dan tindakan susulan diambil bagi melantik kontraktor baharu untuk menyambung serta menyiapkan projek ini secepat mungkin
“Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku agensi pelaksana projek turut diarahkan untuk menyegerakan pelantikan kontraktor gantian agar kebajikan anggota tentera tidak terus terabai,” katanya. – Info X