KOTA KINABALU: Seorang lelaki maut selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan lalu terbabas di Jalan Kepayan, berhampiran jalan bertingkat Aeropod, di sini, malam tadi.
Dalam kejadian jam 10.25 malam itu, mangsa berusia 20-an yang menunggang motosikal jenis Honda disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku apabila penunggang motosikal dalam perjalanan dari arah Putatan menghala ke pusat bandar raya.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, penunggang motosikal terbabit disyaki hilang kawalan lalu terbabas sendiri.
“Mangsa parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.
“Polis juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan pemanduan yang berhemah ketika berada di atas jalan raya, keselamatan semua adalah tanggungjawab bersama,” katanya. – Info X