KOTA KINABALU: Seramai 1,541 mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) akibat banjir di pedalaman Sabah dengan mangsa paling ramai direkodkan di Sook, setakat jam 8 pagi Ahad.
Laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah menunjukkan seramai 1,340 mangsa daripada 405 keluarga dipindahkan di lima PPS di Sook setakat ini.
Sementara itu, seramai 175 mangsa daripada 57 keluarga dipindahkan di pusat pemindahan kekal (PPK) Selagon di Beaufort, manakala 26 daripada 10 keluarga dipindahkan di sebuah PPS di Sipitang.

Di Beaufort, catatan ketinggian air Sungai Padas setakat jam 7 pagi Ahad berada pada paras 9.92 meter, jauh melebihi paras bahaya 8.7 meter.
Hampir keseluruhan pekan Beaufort lumpuh akibat banjir yang bermula sejak Jumaat, termasuk menjejaskan pejabat daerah, stesen kereta api, klinik, stesen minyak, pejabat pos, pasar raya, dan sebahagian besar premis di bangunan kedai lama. – Info X