Search

20,000 ayam mati terbakar

May 5, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Sebanyak 20,000 ekor ayam mati dalam kebakaran membabitkan ternakan ayam di Kampung Rampayan Ulu, di sini, tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud, Penolong Penguasa Bomba, Elgie Bakuk berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada jam 12.34 tengah hari.

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 31 kilometer dari balai bomba.

“Setiba di lokasi, kebakaran membabitkan kandang ternakan ayam jenis separuh kekal sedang terbakar 95 peratus.

“Kaedah pemadaman menggunakan satu aliran, dua pancutan dengan sumber air dari jentera dan tangki simpanan ternakan ayam berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota bomba memadam kebakaran ternakan ayam di Kampung Rampayan Ulu, Kota Belud. – Foto/Bomba

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 1.56 tengah hari dan jumlah anggaran ayam yang mati sebanyak 20,000.

“Selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 2 petang.

“Setakat ini punca kejadian dan nilai kerugian masih disiasat,” katanya. – Info X