Search

Cubaan seludup barang kawalan, 4 lelaki ditahan

May 8, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Sabah menggagalkan cubaan empat lelaki menyeludup keluar pelbagai barangan kawalan di sebuah jeti di Jalan Apas, di sini, Isnin lalu.

Keempat-empat suspek ditahan sepasukan anggota Task Force Perisikan Batalion 14 PGA Tawau dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Kastam dan Bernas Tawau.

Komander PGA Sabah, Datuk Abdul Rani Alias berkata, semua barangan kawalan itu dipercayai cuba diseludup keluar ke negara jiran.

“Dalam serbuan itu, empat lelaki tempatan ditahan bersama bernilai RM513,450 termasuk lori bonded, jongkong, pakaian terpakai, barangan runcit bersubsidi dan makanan sejuk beku.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, Akta Kastam 1957 dan Seksyen 15(1), Enakmen Haiwan 2015 (JPVS) serta Akta Kawal Selia Padi dan Beras (Bernas),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, PGA akan terus komited dalam membanteras penyeludupan dan memperkukuh kerjasama antara agensi.

“PGA Briged Sabah akan terus mempergiatkan risikan dan operasi demi menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya. – Info X