Search

643 peniaga kecil tepi jalan terima bantuan RM5,000

May 9, 2025

Info X Reporters

KUNDASANG: Seramai 643 peniaga gerai kecil tepi jalan di seluruh Sabah dikenal pasti layak menerima bantuan sekali bayar RM5,000 seperti diperuntukkan dalam Belanjawan Sabah 2025.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, berkata senarai penerima bantuan itu dimuktamadkan selepas selesai proses verifikasi kelayakan peniaga.

Proses itu dilakukan jawatankuasa khas yang dianggotai pegawai dari Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan (KKTP), Kementerian Kewangan negeri dan semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Program turun padang dijalankan bagi mendapatkan data peniaga gerai kecil tepi jalan di semua daerah.

“Setelah penelitian dibuat berdasarkan mekanisme yang ditetapkan, seramai 643 peniaga dikenal pasti layak menerima bantuan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Kick-Off Penyerahan Bantuan Usaha Naik Taraf Untuk Komuniti dan Masyarakat Umum (UNTUKMU) peringkat negeri di Pentas Budaya Kundasang, di sini, pada Khamis.

Dr Joachim yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata daripada jumlah itu, seramai 47 penerima adalah dari daerah Ranau yang menerima bantuan pada majlis berkenaan.

Katanya, inisiatif itu adalah tanda keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap nasib peniaga kecil yang berdepan cabaran seperti peningkatan kos operasi, kekurangan modal dan lokasi perniagaan yang tidak tetap.

Beliau turut menganggap peniaga kecil sebagai penggerak ekonomi mikro yang berperanan penting dalam menyediakan perkhidmatan kepada masyarakat setempat.

“Semoga bantuan ini dapat dimanfaatkan sebaiknya, sama ada untuk membeli peralatan, sebagai modal tambahan atau mengembangkan lagi perniagaan sedia ada,” katanya. – Info X