Search

Centre Point Sabah pusat beli-belah pertama di Sabah perkenal robot pembersih berkuasa AI

May 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Centre Point Sabah mencatat sejarah tersendiri, hari ini, apabila menjadi pusat beli-belah pertama di Sabah yang memperkenalkan robot pembersih berteknologi kecerdasan buatan (AI).

Inisiatif ini menandakan komitmen berterusan pihak pengurusan terhadap inovasi, kebersihan, dan nilai-nilai ESG (Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus), sekaligus menetapkan penanda aras baharu dalam pengalaman pelanggan dan kelestarian operasi.

Robot pembersih AI ini merupakan mesin automatik 4 dalam 1 yang mampu mengemop, menggosok, menyapu dan menyedut habuk.

Ia akan diintegrasikan dalam operasi penyelenggaraan harian bagi memastikan persekitaran pusat beli-belah sentiasa bersih, selamat dan menyenangkan untuk semua pengunjung.

Dengan pelaksanaan teknologi ini, Centre Point Sabah mendahului pusat beli-belah lain di rantau ini dalam penggunaan robotik sebagai sebahagian daripada strategi operasi hijau.

Robot berkenaan direka bentuk untuk menyokong pasukan pembersihan sedia ada, mengurangkan beban fizikal kerja manual serta meningkatkan kecekapan secara menyeluruh.

Dilengkapi dengan sistem navigasi pintar, robot ini menawarkan pendekatan kebersihan yang lebih konsisten, jimat tenaga dan mesra alam.

Ia turut membantu menjimatkan penggunaan air dan bahan kimia, seiring dengan matlamat ESG jangka panjang Centre Point Sabah.

“Ini bukan sekadar soal menjadi yang pertama – ia soal bersedia menghadapi masa depan.

“Robot ini bukan pengganti pekerja kami, sebaliknya satu penambahbaikan yang membolehkan kami mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, pintar dan selamat buat para pengunjung,” kata Eksekutif Perhubungan Awam Centre Point Sabah, Meredith Madani.

Sebagai usaha mendekati komuniti juga, Centre Point Sabah turut melancarkan pertandingan media sosial “Namakan Robot Kami”, di mana orang awam dijemput untuk mencadangkan nama yang kreatif dan menyeronokkan bagi robot tersebut.

Nama pemenang akan menerima hadiah istimewa dan akan dipaparkan di semua platform rasmi media sosial Centre Point Sabah.

Dengan pencapaian terbaharu ini, Centre Point Sabah terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pusat beli-belah komuniti yang berwawasan, tempat di mana teknologi dan kelestarian bergerak seiring. – Info X