Search

PRN17: BN-PH sah bentuk kerjasama

May 9, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sah akan bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Perkara itu dijelaskan menerusi satu kenyataan bersama yang dikeluarkan Sekretariat Kerajaan Perpaduan Malaysia pada Jumaat.

Kenyataan bersama itu dibuat Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Berdasarkan kenyataan berkenaan, keputusan kerjasama BN-PH dibuat pada mesyuarat kepemimpinan tertinggi PH dan BN pada Khamis (8 Mei 2025).

Mesyuarat itu dihadiri Perdana Menteri selaku Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Mesyuarat kepimpinan tertinggi antara PH, YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, YAB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 8 Mei 2025 telah mencapai kata sepakat untuk bekerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah.

“Bentuk kerjasama termasuk soal pengagihan kerusi dan perundingan dengan mana-mana parti lain akan diperincikan bersama di antara kepimpinan PH dan BN Sabah,” kata kenyataan itu.

Kenyataan itu menyebut, segala keputusan akan dimuktamadkan oleh kepimpinan tertinggi PH dan BN di peringkat kebangsaan. – Info X