LAHAD DATU: Seorang lelaki warga emas maut selepas kenderaan dipandunya dirempuh sebuah pacuan empat roda dalam kejadian di kilometer 58, Jalan Lahad Datu-Tungku, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, mangsa berusia 67 tahun disahkan meninggal dunia ketika mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Tungku.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, kemalangan melibatkan dua kenderaan iaitu Proton Saga dan Toyota Hilux.
Katanya, berdasarkan siasatan awal, mangsa yang maut memandu Proton Saga dikatakan keluar dari simpang di sebelah kiri secara tiba-tiba.
“Toyota Hilux yang dipandu lelaki berusia 41 tahun bersama seorang penumpang dipercayai gagal mengelak dan terus merempuh sehingga kedua-dua kenderaan terbabas ke bahu jalan.
“Akibat kejadian itu, pemandu Proton Saga yang cedera dibawa ke Klinik Kesihatan Tungku oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Klinik Kesihatan Tungku manakala pemandu dan penumpang tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurutnya, sampel darah kedua-dua pemandu sudah diambil untuk ujian alkohol dan dadah di Jabatan Kimia.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat trafik Inspektor Humaidi Harun di talian 089-881255 atau tampil ke mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Sehubungan itu, Dzulbaharin menasihati pengguna jalan supaya sentiasa berhati-hati dan memandu secara berhemah terutamanya ketika musim hujan. – Info X