Search

PRN17: GRS mampu jadikan Sabah stabil, berdaya saing seperti Sarawak – Pemuda PBS

May 10, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah mampu mencapai impian untuk menjadi negeri yang stabil dan berdaya saing seperti dikecapi Sarawak menerusi kekuatan parti tempatan.

Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS), Christopher Mandut, berkata beliau percaya impian itu boleh menjadi kenyataan di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Sehubungan itu, katanya jentera Pemuda PBS bersedia sepenuhnya untuk digerakkan bagi memastikan kemenangan GRS pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

“Kami komited untuk memperkukuh sokongan di peringkat akar umbi serta mempertahankan GRS demi memastikan kesinambungan pembangunan dan kemajuan negeri ini.

“Kita mengimpikan pentadbiran yang stabil dan berdaya saing seperti yang telah dibuktikan di Sarawak dan saya percaya Sabah mampu mencapai impian itu melalui kekuatan GRS,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Pada Jumaat, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS menyatakan kesediaan GRS untuk bertanding secara solo jika Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) bergabung pada PRN17.

Christopher berkata, Pemuda PBS menyambut baik ketegasan dan kesiapsiagaan GRS dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

“Saya yakin GRS mempunyai kekuatan tersendiri untuk berhadapan dengan apa jua senario politik, termasuk bertanding secara bersendirian jika perlu.

“Gabungan ini dipimpin oleh tokoh-tokoh berpengalaman dan berpandangan jauh.

“Saya percaya Ketua Menteri dan seluruh kepimpinan GRS memiliki strategi yang mantap untuk mempertahankan gabungan ini dan memastikan kestabilan politik di Sabah terus terpelihara,” katanya. – Info X