PUTATAN: Pergerakan Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tanjung Keramat menyokong penuh ketetapan untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bertanding secara solo pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketuanya, Burhanuddin Yahya, berkata kenyataan berhubung perkara itu oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, selaku Pengerusi GRS sememangnya langkah yang tepat demi kepentingan negeri.
“Ahli Gagasan Rakyat Tanjung Keramat, khususnya Pemuda menyokong penuh seruan Pengerusi GRS untuk bergerak secara solo pada PRN17 yang bakal diadakan pada tahun ini,” katanya.
Sokongan padu itu disuarakan lebih 100 ahli Gagasan Rakyat Tanjung Keramat yang hadir pada Persidangan Tahunan Gagasan Rakyat Cawangan Kuala Putatan 2, di sini, pada Jumaat.
Mengenai kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang menunjukkan hasrat untuk bersepakat bagi menghadapi PRN17, Burhanuddin menegaskan GRS tetap berpendirian bahawa kerajaan negeri mesti dikelola parti tempatan Sabah demi kepentingan dan masa depan rakyat negeri ini.
“Kunci kejayaan kerajaan negeri adalah kestabilan politik. Situasi tukar-tukar kerajaan ini tidak membawa apa-apa kemajuan kepada rakyat Sabah,” katanya.
Beliau turut menggesa semua ahli Gagasan Rakyat, khususnya di Bahagian Tanjung Keramat, agar memperkukuhkan saf perjuangan demi memastikan kestabilan dan pembangunan berterusan negeri Sabah. – Info X