KOTA KINABALU: UMNO Sabah bertekad menjadikan PRN17 sebagai medan untuk kebangkitan semula parti itu di negeri ini.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata pemimpin UMNO Sabah tidak akan membiarkan parti itu dihina.
“Kita akan jadikan PRN-17 medan kebangkitan semula UMNO Sabah. Kita tidak akan biarkan parti kita dihina oleh mereka yang tidak pernah menanam bakti tetapi hari ini mahu menuai hasil.
“Kita adalah parti yang punya sejarah dan kita akan buktikan kita juga parti yang punya masa depan,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun ke-79 UMNO pada Ahad.
Bung Moktar berkata, pada usia 79 tahun, UMNO telah menjadi tulang belakang kepada pembinaan negara bangsa Malaysia dan terus menjadi suara akar umbi hingga ke hari ini.
Di Sabah, katanya UMNO telah membina universiti tempatan yang pertama di negeri ini iaitu Universiti Malaysia Sabah (UMS), sekolah, klinik, jalan raya, masjid, serta peluang pekerjaan dan perniagaan untuk rakyat di seluruh pelusuk negeri.
“Banyak lagi pembangunan yang dibuat. Ini bukan retorik, ini sejarah yang terpahat dalam realiti rakyat Sabah,” katanya.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu turut merakamkan penghargaan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, atas ucapan beliau sempena ulang tahun UMNO yang ke-79.
Bung Moktar menyifatkan ucapan Ahmad Zahid bukan sekadar mengenang jasa silam tetapi meniup semangat baharu untuk UMNO bangkit semula dalam landskap politik baharu hari ini.
“Presiden telah menekankan tiga mesej penting yang wajib dihayati oleh seluruh jentera UMNO Sabah dalam menghadapi PRN17 akan datang.
“Pertama, UMNO mesti kembali kepada rakyat. Kita tidak boleh bergantung pada janji, tetapi mesti turun padang, mendengar rintihan rakyat dan membawa penyelesaian.
“Politik hari ini menuntut pemimpin yang bukan sahaja popular, tetapi berjiwa rakyat dan bekerja siang malam,” katanya.
Perkara kedua, katanya adalah peringatan supaya tidak mengulangi kesilapan lalu.
“Presiden mengingatkan bahawa kekalahan UMNO bukan kerana kekuatan lawan, tetapi kerana kelemahan dalaman.
“Di Sabah, kita mesti bersatu. Perbezaan pendapat tidak boleh menjadi alasan untuk perpecahan. Kita lawan musuh politik, bukan sesama sendiri.
“Ketiga, UMNO mesti menjadi parti masa depan, bukan parti kenangan. Dalam era digital dan generasi muda, kita perlu muncul dengan idea dan wajah baharu.
“Kita mesti mendidik, melibatkan dan memperkasakan anak muda Sabah sebagai pewaris perjuangan,” katanya.
Justeru itu, beliau menyeru kepada semua pimpinan, jentera dan ahli UMNO di seluruh Sabah untuk bangkit, bersatu dan berjuang. – Info X