Search

SWEPA bantu tingkat kesihatan mata, telinga golongan memerlukan

May 12, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Persatuan Usahawan dan Profesional Wanita Sabah (SWEPA) mengambil inisiatif membantu golongan memerlukan di Sabah menerusi projek pemeriksaan mata dan telinga dengan kerjasama beberapa badan korporat.

Presiden SWEPA, Karen Wong, berkata projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu disasar untuk meningkatkan tahap kesihatan penglihatan dan pendengaran komuniti yang kurang mendapat perhatian.

Menerusi projek itu, katanya SWEPA baru-baru ini mengagihkan cermin mata percuma pada satu majlis di Cititel Express Kota Kinabalu kepada penerima yang layak selepas melalui pemeriksaan mata secara menyeluruh.

Beliau berkata, ia adalah sebahagian inisiatif menerusi komitmen yang sedang dilaksanakan badan itu bagi memperkasa kehidupan melalui kesihatan dan tanggungjawab sosial.

“Akses kepada penjagaan pendengaran dan penglihatan yang betul adalah perlu bagi meningkatkan kualiti kehidupan.

“Menerusi inisiatif CSR ini, kita menyasarkan untuk menyokong individu yang memerlukan bantuan, memastikan mereka boleh melihat dan mendengar dengan baik untuk masa depan yang cerah,” katanya.

Projek itu katanya direalisasikan menerusi kerjasama strategik dengan Perbadanan Pinjaman Sabah (SCC), Cititel Express Kota Kinabalu, Eyesscience Optometrist & Children Vision Centre dan Ophelia Hearing Specialist yang menyediakan sumber serta kepakaran masing-masing.

Sementara itu, Pengerusi Penganjur, Betty Epin, berkata inisiatif itu menggambarkan dedikasi SWEPA kepada kebajikan komuniti.

“Kita berterima kasih kepada rakan kita atas sokongan mereka yang tidak goyah dalam menjayakan projek ini,” katanya.

Beliau berkata, SWEPA akan terus menjadi juara dalam memperkasa pembangunan wanita dan komuniti melalui pelbagai program CSR. – Info X