TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata rundingan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sedang dilaksanakan bagi membentuk kerjasama menghadapi PRN17 dengan PH dan BN.
Pengerusi PH itu berkata ia selaras hasratnya untuk melibatkan GRS dalam kerjasama PH-BN bagi menghadapi PRN17 dan perbincangan ke arah itu sedang dibuat menerusi rundingan dengan Pengerusi GRS yang juga Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
“Kita bekerjasama tentunya dengan UMNO-BN dan GRS, sebab itu saya datang juga dan mengadakan beberapa perbincangan dengan Ketua Menteri supaya kesepakatan ini lebih meluas dan kita ambil sikap yang lebih terbuka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media pada akhir programnya di Tawau pada Ahad.
Perdana Menteri turut menegaskan pelaksanaan sebarang keputusan berkaitan kerjasama politik di Sabah akan dibuat oleh kepimpinan PKR dan PH Sabah sendiri.
Jelasnya, kerjasama itu penting bagi memastikan kestabilan politik di peringkat nasional dan negeri terus terjamin. – Info X