TAWAU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata hanya kerjasama erat di antara kerajaan Persekutuan dan negeri mampu memastikan Sabah mencapai kemajuan sebenar untuk manfaat rakyatnya.
Beliau berkata, usaha membangunkan Sabah tidak boleh bersandarkan kepada perbalahan politik atau sentimen wilayah, sebaliknya memerlukan komitmen bersama dan keikhlasan untuk berkhidmat.
“Semenanjung tidak akan maju, Sarawak tidak akan maju, Sabah pun tidak akan maju kalau kita tidak bersatu dan bermuafakat kerana kita bina kekuatan bersama, angkat negeri ini sama-sama,” katanya pada Majlis Penutupan Program MADANI Rakyat 2025 Sabah, di sini, pada Ahad.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, atas kerjasama padu dan kesungguhan melaksanakan pembangunan negeri.
“Tidak pernah saya minta saham, balak atau kontrak daripada Sabah. Saya datang ke sini untuk memberi khidmat kepada rakyat negeri ini kerana itu tanggungjawab saya,” katanya.
Jelasnya, sebanyak 144 projek pembangunan bernilai RM14 bilion telah dan sedang dilaksanakan di Sabah, termasuk menaik taraf Hospital Tawau, Penjara Lahad Datu dan Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar.

Anwar turut menekankan kepentingan untuk menyelesaikan isu asas rakyat seperti bekalan air, elektrik, pendidikan dan kesihatan yang sekian lama membelenggu masyarakat luar bandar negeri ini.
“Kita tidak mampu selesaikan semua masalah dalam dua tahun tetapi kerajaan MADANI komited untuk terus bekerja keras demi rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar meminta semua pihak termasuk rakyat dan jentera kerajaan agar memantau dan memberi teguran terhadap pelaksanaan program kerajaan secara membina.
“Kalau ada kelemahan, beri teguran, kalau ada cadangan, kemukakan. Itulah cara kita hidupkan Malaysia yang hebat dan Sabah yang maju,” katanya. – Info X