Search

Seluar dalam wanita turut jadi sasaran lelaki pecah rumah

May 13, 2025

Info X Reporters

TENOM: Seorang lelaki ditahan selepas memecah masuk sebuah rumah di Kampung Saga, di sini, sebelum dikesan mencuri seluar dalam wanita, selain barang kemas dan jam tangan.

Dalam kejadian pada 8.30 malam, Sabtu lalu itu disedari jiran mangsa berdasarkan bunyi kuat di rumahnya sebelum memanggil orang kampung yang kemudian mengepung rumah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tenom, Superintendan Azmir Abd Razak berkata, kejadian itu disedari oleh jiran yang terdengar bunyi kuat dari rumah bersebelahan.

Susulan itu, katanya beberapa penduduk kampung mengambil keputusan untuk melihat dan mengepung rumah berkenaan.

“Ketika itu, terdapat seorang lelaki tidak dikenali memanjat dan keluar dari tingkap sebuah bilik di bahagian belakang rumah.

“Suspek telah ditangkap oleh penduduk kampung dan terdapat beberapa barangan yang telah diambil dan dalam milikan lelaki terbabit iaitu beberapa barang kemas, tiga helai seluar dalam wanita dan satu unit pemutar skru,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, sebuah kereta jenis Perodua Kancil yang diletakkan di bahu jalan dipercayai milik suspek turut ditemui dan penduduk kampung kemudian menghubungi pihak polis.

“Sebaik tiba di lokasi, lelaki itu ditahan dan pemeriksaan mendapati suspek memasuki rumah itu melalui tingkap sebuah bilik bahagian belakang dengan memecahnya.

“Ketika kejadian pemilik rumah berada di Kota Kinabalu. Suspek dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambah beliau lagi, siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah. – Info X