Search

Semua 4 mangsa sesat di hutan Tamaco selamat, 2 ditemui hari ini

May 13, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Dua lelaki yang dilaporkan hilang selepas dipercayai tersesat di Hutan Tamaco, Tungku, di sini, sejak 8 Mei lalu, ditemui selamat hari ini.

Kedua-dua mangsa di dua lokasi berasingan oleh pekerja ladang berkenaan sebelum memaklumkan pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan segera.

Timbalan Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Superintendan Jimmy Panyau yang mengesahkan penemuan kedua-dua mangsa berkata, mangsa pertama ditemui pada jam 12 tengah hari.

Manakala katanya, mangsa kedua pula ditemui pada jam 4 petang di lokasi berasingan oleh pekerja ladang berkenaan.

“Kedua-dua mangsa berusia berusia 37 dan 41 tahun itu ditemui dalam keadaan lemah di dua lokasi berasingan.

“Kedua-dua mangsa terus dihantar ke Klinik Tungku untuk pemeriksaan kesihatan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, sejurus penemuan itu, operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 malam tadi.

Terdahulu, dalam kejadian Khamis lalu, kedua-dua mangsa bersama dua lagi rakan mereka dikatakan masuk ke hutan berkenaan untuk mencari hasil hutan.

Sebaik kehilangan semua mangsa disedari, operasi SAR terus digerakkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) pada pagi, semalam.

Pasukan SAR terdiri daripada JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), serta orang awam yang turut membantu. – Info X