Search

PRN17: Cyril umum tanding bebas di Kapayan buat Jannie kesal

May 14, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pegawai Pembangunan Masyarakat (PPM) Kapayan, Cyril Liew dilapor meninggalkan DAP dan mengumumkan bakal bertanding calon bebas pada PRN17.

Orang kepercayaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan, Jannie Lasimbang itu membuat pengumuman berkenaan pada satu majlis bersama Ahli Parlimen Kudat, Datuk Verdon Bahanda.

Difahamkan, Cyril menyertai gerakan ‘calon bebas’ diketuai Verdon yang dinamakan Gelombang Hitam untuk bertanding pada PRN17.

Verdon yang juga Ahli Parlimen bebas sebelum ini dilapor turut bertanding pada PRN nanti dan menyasarkan antara 10 hingga 15 kerusi calon bebas bakal membawa cabaran Gelombang Hitam.

Sementara itu, mengulas tindakan Cyril, Jannie berkata beliau kesal dengan apa yang dilakukan pegawainya itu setelah diberi kepercayaan membantu tugasnya di Kapayan.

“Saya kesal dengan keputusan Cyril untuk keluar dari DAP. Sebagai PPM saya di DUN Kapayan, saya telah memberikan kepercayaan kepada beliau untuk membantu saya dalam pelbagai tugasan demi memastikan projek dan aduan rakyat Kapayan diuruskan dengan baik. Saya tidak menyangka beliau akan berpaling tadah,” katanya.

Jannie berkata, DAP Sabah sudah mengesahkan penerimaan surat peletakan jawatan Cyril yang tidak memegang sebarang jawatan dalam DAP.

Jelasnya, segala hasil kerja baik yang dikatakan oleh Cyril adalah sebahagian daripada tanggungjawabnya sebagai PPM dan ia adalah usaha daripada pasukan dibentuk bagi DUN Kapayan.

“Saya menafikan sebarang dakwaan berhubung pengabaian kebajikan staf saya. Apain Soriun, yang kini menyebarkan fitnah dan kebencian di laman Facebooknya, telah ditamatkan perkhidmatan kerana prestasi kerja yang lemah serta keengganan berterusan untuk hadir ke pejabat dan mesyuarat.

“Tiada nilai dalam pendakian lebih tinggi jika terpaksa memijak tangan yang pernah mengangkatmu,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu. – Info X