KOTA KINABALU: Seorang pemimpin UMNO Sabah mempersoalkan kemudahan infrastruktur daif beberapa lokasi pelancongan berasaskan komuniti di negeri ini yang disifatkan tidak sepatutnya berlaku jika industri itu membawa pulangan yang besar.
Ketua UMNO Kota Belud, Azuwan Marjan Norjan, berkata dengan hasil dari sektor pelancongan yang dilapor mencecah RM2.13 bilion sepanjang Januari hingga Mac lalu, sepatutnya tiada lagi isu kemudahan daif di kampung yang menjadi destinasi pelancongan berasaskan komuniti.

Bagaimanapun, katanya apa yang berlaku ketika ini masih banyak kemudahan di kampung terbabit yang tidak dibaiki atau dinaik taraf seperti jambatan kayu yang sudah lama dan usang.
“Sabah dilaporkan meraih RM2.13 bilion hasil pelancongan hanya dalam tempoh Januari hingga Mac tahun ini, satu angka yang pastinya membuka mata.
“Kita turut diberitahu bahawa Sabah mencatat kehadiran hampir sejuta pelawat dalam suku pertama tahun ini, termasuk lebih 150,000 dari China. Ini kononnya bukti bahawa industri pelancongan negeri berada di landasan yang kukuh.
“Namun, di sebalik angka-angka gah dan kempen pelancongan bertaraf antarabangsa, masih ada kampung-kampung pelancongan komuniti yang terus dibiarkan dengan infrastruktur asas yang daif.
“Beberapa lokasi pelancongan berasaskan komuniti yang semakin popular dalam kalangan pelancong tempatan dan antarabangsa masih bergantung kepada jambatan kayu lama usang dan sempit untuk dilalui penduduk kampung dan pelancong.
“Ada yang terpaksa menapak kerana bas pelancong tidak dapat melalui laluan masuk ke kampung akibat saiz jambatan yang kecil dan keadaannya yang terlalu uzur,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Ironinya, beliau berkata tempat-tempat itu sering dipromosi dalam kempen pelancongan negeri tetapi hakikat di lapangan menunjukkan ada jurang besar antara kejayaan yang digembar-gemburkan dan kesungguhan sebenar untuk memperkasa asas pelancongan komuniti.
“Kita terkilan apabila melihat semangat anak-anak muda kampung, ibu yang menyambut tetamu dengan juadah tradisi serta warga tempatan yang berusaha membangunkan ekonomi desa tetapi usaha mereka terbantut hanya kerana jambatan kayu yang tidak dipandang oleh sesiapa.
“Kalau Sabah mampu meraih berbilion hasil balak dan berbilion lagi dari pelancongan dalam masa tiga bulan, apakah sukar untuk menyediakan jambatan konkrit yang selamat? Apakah terlalu berat untuk memperbaiki jalan masuk ke destinasi pelancongan komuniti yang semakin mendapat sambutan ini?
“Rakyat tidak meminta pelaburan jutaan ringgit, mereka hanya minta laluan yang selamat dan boleh dilalui kenderaan pelawat. Apakah terlalu besar permintaan itu?,” soalnya.
Beliau berkata, perkara yang dibangkitkannya bukan soal politik, sebaliknya ia membabitkan soal maruah dan keadilan untuk komuniti yang turut menyumbang kepada hasil negeri.
Katanya, jika mahu mempromosikan Sabah sebagai destinasi bertaraf dunia, infrastrukturnya juga harus mencerminkan komitmen yang setaraf dan bukan hanya bergantung pada semangat rakyat yang tidak pernah putus asa.

“Sabah sudah kaya tetapi kemewahan itu belum dirasai mereka yang membina nama negeri ini dari bawah, iaitu penduduk kampung yang hari ini terpaksa melangkah atas papan reput demi menyambut tetamu dari luar negara.
“Berbilion masuk, tapi jambatan kayu pun tak dapat diganti, di mana silapnya?,” katanya. – Info X