Search

Pekerja hilang dipercayai terjatuh akibat tergelincir

May 14, 2025

Info X Reporters

PUTATAN: Pekerja kontraktor Sabah Electricity yang dilapor hilang semalam dipercayai terjatuh ke dalam gaung akibat tergelincir ketika melakukan kerja pembersihan menara pencawang di kawasan Taman Rimba Hills, Lok Kawi, di sini, semalam.

Mangsa Aszaman Salleh, 48, itu ditemui oleh pasukan operasi dalam keadaan lemah kira-kira 265 meter dari lokasi kerja-kerja pembersihan di Menara 11, pada jam 9.56 pagi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Putatan, Noorsherriyana Bohari berkata, Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dimulakan pada jam 6 pagi tadi bersama pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Sabah Electricity.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menerima maklumat daripada kontraktor Sabah Electricity bahawa mangsa telah ditemui dalam keadaan selamat namun fizikalnya lemah.

“Mangsa difahamkan tergelincir sebelum terjatuh semasa keluar dari kawasan berkenaan selepas membuat kerja-kerja pembersihan di menara pencawang berkenaan.

“Pasukan operasi bersama agensi lain bertindak membawa turun mangsa dan seterusnya diberikan rawatan awal oleh Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa (topi oren) dipapah oleh pasukan operasi mencari sebaik menemuinya kira-kira 265 meter dari menara pencawang Sabah Electricity di kawasan Taman Rimba Hills, Lok Kawi, Putatan.

Menurutnya, mangsa kemudiannya diserahkan kepada pasukan perubatan untuk dibawa ke hospital menggunakan Ambulans bulan sabit merah bagi mendapatkan rawatan lanjut.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 1.30 petang,” katanya.

Terdahulu, dalam kejadian kira-kira jam 1.30 petang semalam, mangsa dikatakan masuk ke kawasan pencawang sejauh 500 meter dari jalan utama untuk kerja-kerja pembersihan.

Bagaimanapun, semasa balik ke lokasi asal, dua rakannya yang berada di depan mendapati mangsa hilang dan tidak keluar dari kawasan hutan sehingga jam 3.30 petang.

Selepas usaha mengesan mangsa gagal, kedua-dua rakannya terus menghubungi pihak berkuasa untuk mendapatkan bantuan. – Info X