SANDAKAN: Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok dan Pusat Pemuliharaan Beruang Madu Borneo, Sepilok, di sini, bakal dinaik taraf pada tahun ini.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Christina Liew, berkata projek itu adalah antara fasiliti pelancongan yang dinaik taraf sebagai persediaan Tahun Melawat Malaysia 2026.
Katanya, empat projek naik taraf telah diluluskan yang merangkumi dua projek di bawah pembiayaan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM750,000 dan dua lagi di bawah pembiayaan Kerajaan Negeri Sabah berjumlah RM500,000.
Beliau berkata, projek itu adalah adalah sebahagian daripada inisiatif Kerajaan Negeri dalam memastikan Sabah bersedia sepenuhnya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Kerajaan Negeri komited dalam memastikan kemudahan yang disediakan kepada pelancong, sama ada kepada pelawat tempatan mahupun antarabangsa, adalah dalam keadaan yang terbaik, selamat, mesra alam dan berstandard tinggi.
“Pada masa yang sama, dengan penaiktarafan ini juga memberikan nilai tambah kepada pengalaman pelawat di kawasan ini di samping memelihara kepentingan ekosistem dalam jangka masa panjang,” katanya ketika meninjau Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok, di sini.
Pusat Pemulihan Orang Utan Sepilok adalah antara pusat pemulihan orang utan tertua di dunia dan telah menarik pelawat dari seluruh pelusuk dunia sejak ia dibuka pada 1964.

Ia memainkan peranan penting dalam usaha konservasi hidupan liar dan turut menjadi pusat pendidikan kepada generasi muda serta pelancong antarabangsa.
Sementara itu, Borneo Sun Bear Conservation Center pula adalah satu-satunya pusat pemuliharaan beruang madu di dunia yang menyediakan perlindungan kepada spesies terancam itu, selain menjadi hab penyelidikan dan pendidikan alam sekitar.
Dengan penambahbaikan infrastruktur itu, Christina berkata ia dijangka dapat menarik lebih ramai pelawat dan meningkatkan kesedaran mengenai konservasi biodiversiti Borneo.
“Usaha penaiktarafan ini juga selaras dengan komitmen Sabah dalam memajukan eko pelancongan mampan, di mana pemeliharaan alam sekitar dan pembangunan ekonomi dapat bergerak seiring,” katanya. – Info X