Search

Kerjasama bersepadu antara agensi perangi jenayah hidupan liar, khazanah alam

May 15, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain menekankan kepentingan kerjasama bersepadu antara agensi dalam memerangi jenayah hidupan liar dan pelbagai ancaman terhadap khazanah alam negara.

Beliau berkata, tekad dan iltizam yang dipasak perlu disusuli dengan usaha dan gerak kerja yang jitu menerusi kesepakatan ‘inter-agency’ yang ampuh.

“Usaha pemberdayaan yang berterusan diyakini mampu menumpaskan kegiatan jenayah hidupan liar secara inklusif.

“Ini sekali gus melindungi khazanah negara daripada terus dicabuli,” katanya ketika berucap selepas mempengerusikan Mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) Siri 17 Bilangan 1 2025, di sini, hari ini.

Mesyuarat berkenaan turut dipengerusikan bersama Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Semenanjung Malaysia, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim dan Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Siti Mang.

Mesyuarat berkenaan turut disertakan dengan sesi taklimat Pelaporan Keberhasilan OBK dan Sabah World Wide Fun.

Taklimat disampaikan oleh Penolong Pengarah Perisikan/Siasatan Khas, Bahagian Wildlife Crime Bureau (WCB)/Perisikan dan Siasatan Khas (PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri & Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Superintenden Ahmad Amri Abd Rahman dan Puan Joannie Jomitol dari Wildlife Protection Unit. – Info X