Search

Pengedar dadah mandi lumpur elak dicekup

May 16, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki disyaki terbabit dalam sindiket pengedaran dadah nekad mengharungi lumpur bagi mengelak daripada dicekup polis dalam Op Tapis di kawasan Batu 4, Jalan Apas, di sini, petang tadi.

Bagaimanapun suspek berusia 40 tahun itu berjaya ditahan selepas anggota polis turut terjun di kawasan lumpur berkenaan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, hasil pemeriksaan tubuh suspek menemui 80 peket plastik lutsinar pelbagai saiz mengandungi hablur jernih disimpan di dalam beg silang milik suspek.

“Semua dadah jenis syabu seberat 50.06 gram itu dianggarkan bernilai RM1,750.

“Semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek pernah ditahan atas kesalahan dadah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Polis kini sedang giat memburu saki baki anggota sindiket dan meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenainya supaya menghubungi polis melalui hotline Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau di talian 089-772121.

“Orang ramai juga boleh menggunakan Volunteer Smartphone Patrol (VSP) bagi membantu pihak berkuasa membanteras dadah,” katanya. – Info X