RANAU: Polis Ranau berjaya menyelesaikan tujuh kes pecah rumah membabitkan kerugian RM149,363 dengan penahanan dua lelaki yang aktiviti melakukan jenayah di daerah ini, semalam.
Kedua-dua suspek warga tempatan ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau, di sekitar daerah ini, pada jam 7.20 pagi.
Ketua Polis Daerah Ranau, Superintendan Mursalin Mahmud berkata, dua lelaki itu berjaya ditahan dalam selepas disyaki terbabit kes pecah rumah yang dilaporkan oleh beberapa mangsa.
“Semakan mendapati, suspek pertama mempunyai enam rekod jenayah lampau terbabit kes dadah, samun dan pecah rumah.
“Manakala suspek kedua tidak mempunyai sebarang rekod jenayah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, turut dirampas dalam operasi itu pelbagai barang yang dipercayai hasil curi seperti barangan kemas, wang tunai mata wang asing, kenderaan serta beberapa dokumen penting mangsa pecah rumah.
“Hasil daripada tangkapan ini, polis percaya telah berjaya menyelesaikan sebanyak tujuh kes yang dilaporkan dengan anggaran kerugian berjumlah RM149,363.
“Ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan Amphetamine,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata kejayaan ini adalah hasil kecekapan dan komitmen pasukan BSJD IPD Ranau dalam membanteras kegiatan jenayah serta menjamin keselamatan awam di daerah ini.
Katanya, masyarakat dinasihatkan supaya terus bekerjasama untuk menyalurkan maklumat kegiatan jenayah di daerah ini kepada pihak polis. – Info X