Search

3 rumah, 3 kereta musnah dalam kebakaran di Tawau

May 17, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Tiga kediaman termasuk rumah dua tingkat musnah dalam kejadian kebakaran di Jalan Apas, di sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam itu, tiga kenderaan milik penghuni yang parkir di rumah berkenaan turut musnah terbakar.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 12.15 tengah malam.

Katanya, sepasukan 14 anggota dan pegawai bersama empat buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam.

“Sebaik tiba, pasukan bomba terus menjalankan operasi memadam menggunakan dua aliran dari sumber air pili bomba.

“Kebakaran melibatkan tiga rumah serta tiga kenderaan yang kusnah sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, api berjaya dikawal pada jam 12.57 tengah malam dan setakat ini tiada sebarang laporan melibatkan kematian ataupun kecederaan.

Katanya, api berjaya dipadamkan dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 3.20 pagi selepas dipastikantiasa lagi bara api yang boleh mencetuskan kebakaran semula.

“Pasukan forensik bomba akan menjalankan siasatan bagi mengenalpasti punca dan jumlah kerugian dalam kejadian ini.

“Operasi turut dibantu Bomba Komuniti Kampung Titingan dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. – Info X