LAHAD DATU: Penghuni sebuah rumah di Taman Seri Perdana, di sini, dikejutkan dengan kehadiran ‘tetamu tidak diundang’ seekor anak buaya di depan rumah mereka, malam tadi.
Anak buaya berukuran 1.5 meter itu dipercayai tersesat sebelum berada di hadapan pagar rumah penghuni terbabit.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Penolong Penguasa Bomba, Sumsoa Rashid berkata, sepasukan anggota digerakkan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan pada jam 10.04 malam.
“Setiba di lokasi, didapati reptilia itu berada di hadapan pagar rumah pengadu.
“Selepas 14 minit, akhirnya buaya itu berjaya ditangkal dengan menggunakan peralatan khas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, reptilia berkenaan kemudian dibawa balai polis untuk diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah bagi tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 22.23 malam,” katanya. – Info X