Search

PRN17: Armizan pertikai kenyataan BN-PH guna kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan

May 16, 2025

Info X Reporters

PAPAR: Pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mempertikaikan penggunaan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan bagi mengumumkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) menerusi kenyataan bersama pemimpin dua gabungan itu, baru-baru ini.

Timbalan Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata kepala surat berkenaan tidak wajar digunakan berikutan komposisi Kerajaan Perpaduan Persekutuan pada masa ini membabitkan banyak parti, selain BN dan PH.

Beliau berkata, tindakan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Wira Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga Setiausaha Agung UMNO dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail itu menimbulkan polemik politik yang tidak membina di Sabah, termasuk respon daripada Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor.

Katanya, keadaan terbabit menyebabkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terpaksa menjelaskan pengumuman berkenaan apabila ditanya dalam sidang media ketika lawatannya ke Tawau, baru-baru ini, selepas isu itu menjadi perhatian media dan rakyat di Sabah.

“Asyraf dan Saifuddin seharusnya teliti dalam tindakan mereka. Mereka bebas mengeluarkan kenyataan rasmi mewakili gabungan parti masing-masing, namun kepala surat rasmi Sekretariat Kerajaan Perpaduan hanya boleh diguna pakai sekiranya pendirian itu mewakili konsensus semua gabungan parti,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata demikian pada Majlis Citra Tradisi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), di sini, pada Jumaat.

Pada 9 Mei lalu, Saifuddin dan Asyraf mengumumkan kerjasama BN dan PH untuk PRN Sabah dengan menggunakan kepala surat Sekretariat Kerajaan Perpaduan yang turut memaparkan logo parti menganggotai Kerajaan Perpaduan.

Armizan turut mempersoalkan sama ada sekretariat itu boleh mengeluarkan kenyataan media rasmi tanpa merujuk kepada Mesyuarat Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan.

“Adakah Sekretariat Kerajaan Perpaduan juga akan mengeluarkan kenyataan seumpama itu berkaitan pilihan raya Sarawak kelak?

“Diharapkan Setiausaha Agung Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fadillah Yusof dapat melihat perkara ini supaya perkara serupa tidak berulang pada masa depan,” katanya.

Ahli Parlimen Papar itu berkata, keputusan membentuk kerjasama politik adalah hak setiap parti, namun penggunaan platform Kerajaan Perpaduan untuk mengumumkan kerjasama yang membabitkan dua pihak adalah tidak wajar.

“Kita juga perlu terima keunikan landskap politik di negeri-negeri seperti Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor yang akan berdepan dengan PRN. Kalau kestabilan adalah matlamat, kita menghormati sesama kita.

“Kapal GRS mungkin dilihat kecil oleh orang tertentu, namun dengan izin Tuhan, kapal kecil ini mempunyai muatan yang mencukupi untuk sampai ke destinasi,” katanya. – Info X