Search

APMM gagalkan cubaan seludup 425 paket minyak masak bersubsidi

May 16, 2025

Info X Reporters

SANDAKAN: Cubaan menyeludup keluar 425 paket minyak masak satu kilogram (kg) terbongkar apabila digagalkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam operasi yang dilaksanakan, baru-baru ini.

Operasi penguatkuasaan bersepadu menerusi Op Pluto Timur 2/2013 dan Op Tiris 3.0 menemui bot kargo kecil yang ditinggalkan dalam keadaan mencurigakan berhampiran Kampung Sundang Laut, pada jam 5.45 petang.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Muhamad Suhairy Hussain berkata, pemeriksaan lanjut menemui 25 bungkusan plastik hitam mengandungi 425 paket minyak masak bersubsidi seberat 425 kilogram.

“Semua barangan berkenaan dipercayai cuba diseludup keluar tanpa permit. Bot ditunda ke Jeti APMM Zon Maritim Sandakan untuk tindakan lanjut siasatan.

“Rampasan dibuat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, APMM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi dalam menangani aktiviti penyeludupan barangan kawalan yang mengancam ekonomi negara dan hak rakyat.

“APMM meminta supaya orang awam khususnya komuniti maritim menyalurkan maklumat atau aduan sebarang kegiatan jenayah di laut.

“Orang ramai boleh menghubungi talian kecemasan 999 atau hubungi Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di 089-229504,” katanya. – Info X