KOTA KINABALU: AMANAH Sabah menyasarkan empat kerusi untuk ditandingi parti itu di bawah gabungan Pakatan Harapan (PH) pada PRN17.
Empat kerusi terbabit ialah Tanjung Aru, Karambunai, Lumadan dan Sulabayan.
Kerusi berkenaan diumumkan Pengarah Pilihan Raya Nasional AMANAH, Mohd Sani Hamzan pada sidang media selepas melancarkan jentera pilihan raya amanah, di sini, pada Sabtu.
Katanya, empat kerusi itu dipilih berdasarkan penilaian yang sudah dibuat AMANAH Sabah sebelum dibawa untuk rundingan dalam PH Sabah.
“Ini kerusi yang kita sasarkan tetapi kesudahannya nanti tertakluk kepada rundingan dengan kepemimpinan PH dan rakan gabungan kita nanti.
“Tapi, pada dasarnya empat kerusi itulah yang kita hajati untuk ditandingi pada PRN17 ini,” katanya.
Mengenai soal calon, Mohd Sani berkata keputusan juga akan dibuat kepemimpinan parti berdasarkan senarai calon yang dicadangkan AMANAH Sabah bagi membawa cabaran parti itu pada PRN17 nanti.
Sementara itu, Pengerusi AMANAH Sabah, Lahirul Latigu, berkata rundingan dengan parti komponen PH mengenai kerusi yang diminta parti itu sudah mencapai antara 70 hingga 80 peratus setakat ini.
“Kita sudah bincang dengan PH dan setakat ini sudah selesai antara 70 peratus hingga 80 peratus. Rundingan akan diteruskan selepas selesai pemilihan PKR nanti.
“Selepas itu, kita akan mula bincang dengan Barisan Nasional (BN) berdasarkan kerjasama BN-PH di bawah Kerajaan Perpaduan yang diumumkan baru-baru ini,” katanya.
Lahirul berkata, AMANAH Sabah bersungguh-sungguh untuk menyertai PRN17 di bawah PH sebagai satu usaha untuk mengukuhkan lagi kehadiran parti itu di negeri ini. – Info X