KOTA KINABALU: UMNO dan Barisan Nasional (BN) membuka peluang untuk menjalin kerjasama dengan parti lain pada PRN17 sehingga pada hari penamaan calon nanti.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata pintu kerjasama terbuka kepada mana-mana parti untuk membentuk gabungan yang dinamakan BN-PH Plus Plus.
Katanya, UMNO dan BN tidak pernah menutup pintu untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti dan beliau juga yakin rakan parti dari PH turut berpendirian sama.
“UMNO dan BN amat terbuka untuk menjalin sebarang kerjasama dan keterbukaan ini sehinggalah pada hari penamaan calon (PRN17).
“Memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) belum dibubarkan, maka pintu masih terbuka dan insyaAllah di bawah permesyuaratan dengan PH, kita akan cari rakan terbaik bagi pembentukan kerajaan di Sabah nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Gerak17 UMNO Sabah bagi DUN Karambunai, Sepanggar, di sini, pada Sabtu.
Hadir sama Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Mokhtar Radin; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Ketua UMNO Sepanggar, Datuk Yakub Khan.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata, kerjasama pelbagai parti kini sudah menjadi amalan dan ia dibuktikan di 77 negara seluruh dunia.
“Kita ketahui bahawa di 77 negara apabila mereka ada pilihan raya, sama ada pilihan raya umum atau pilihan raya memilih presiden, tiada parti yang dominan.
“Mereka terpaksa bergabung dengan parti kecil dan parti yang dahulunya menjadi seteru, ini sudah menjadi satu lumrah di negara lain.
“Ini juga sudah berlaku dalam Pilihan Raya Umun Ke-15 (PRU15) di mana tiada sebuah parti pun yang dominan. Biarpun UMNO adalah parti yang terbesar di negara ini, tapi kita tidak menang banyak kerusi pada masa itu.
“Namun, jumlah kerusi yang kecil ini pun kita telah bagi sumbangan kepada pembentukan kerajaan yang ada sekarang dan saya nampak ‘trend’ yang sama mungkin akan berlaku di Sabah ini,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan mana-mana parti supaya tidak merasakan parti mereka cukup dominan hingga tidak perlu menjalin kerjasama dengan parti lain.
“Janganlah mana-mana pihak rasa terlalu besar hati, merasakan bahawa partinya dominan dan tidak perlu bertanding dengan kerjasama parti lain.
“Jika ada yang berhasrat bertanding solo sekalipun, maka mereka harus ketahui bahawa ini adalah ‘trend’ dunia dan saya yakin ini juga akan berlaku di Sabah,” katanya.
Mengenai kemungkinan kerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Ahmad Zahid mengakui sudah ada perbincangan ke arah itu namun bukan dibuat secara rasmi.
Perkara itu katanya diserahkan kepada UMNO Sabah yang diberi autonomi membuat keputusan dan beliau percaya tiada perkara yang tidak boleh dirundingkan. – Info X