Search

APMM gagalkan cubaan seludup keluar minyak masak bersubsidi

May 17, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup keluar minyak masak bersubsidi dalam operasi berimpak tinggi di perairan Tanjung Batu, pagi tadi.

Rampasan hasil risikan itu dilakukan kira-kira jam 6 pagi apabila bot ronda APMM Lahad Datu mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan hanya 0.2 batu nautika dari selatan Tanjung Batu.

Pengarah Zon Maritim Lahad Datu, Komander Maritim Dzulfikhar Ali berkata sebaik menyedari kehadiran pasukan operasi, bot berkenaan bertindak melarikan diri ke arah daratan.

“Suspek yang berada di atas bot kemudian bertindak nekad terjjn ke laut dan meloloskan diri.

“Pemeriksaan ke atas bot itu menemui 84 kotak berisi 1,428 paket minyak masak satu kilogram yang disorok dalam beg plastik hitam,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota APMM memeriksa minyak masak bersubsidi yang dirampas dalam operasi berimpak tinggi di perairan Tanjung Batu, Lahad Datu. – Foto/APMM

Menurutnya, semua barang rampasan termasuk bot dibawa ke Jeti Pos Maritim Felda Sahabat untuk tindakan lanjut.

“Anggaran keseluruhan nilai rampasan termasuk bot berkenaan mencecah RM10,000.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana disyaki terbabit dalam cubaan menyeludup barang kawalan bersubsidi tanpa kebenaran pihak berkuasa,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut melalui aplikasi WhatsApp Zon Maritim Lahad Datu di talian 016-9305727 atau talian kecemasan 999. – Info X