Search

PRN17: Pemimpin asyik berbalah, rakyat tak terbela – Anil Sandhu

May 18, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin Barisan Nasional (BN) kecewa terhadap situasi semasa politik Sabah yang menyaksikan perbalahan terbuka di antara pemimpin menjelang Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

EXCO Pemuda BN, Datuk Seri Dr Anil Sandhu, berkata perbalahan atau pertikaman lidah antara pemimpin dan parti politik yang semakin hangat menyebabkan rakyat yang berdepan pelbagai isu kehidupan menjadi mangsa.

Berikutan itu, beliau menggesa pemimpin politik tanpa mengira latar belakang parti supaya meredakan suhu politik yang semakin memuncak demi kepentingan rakyat.

“Apa yang lebih utama ketika ini bukanlah retorik mahupun persepsi politik tetapi tindakan nyata di lapangan bagi membantu rakyat yang memerlukan kehadiran pemimpin untuk membela nasib mereka.

“Rakyat ingin didampingi, didengari dan difahami. Turunlah padang, selamilah denyut nadi rakyat, rasai keresahan mereka dan carilah penyelesaian bersama.

“Saya sendiri kecewa apabila melihat landskap politik negeri ini dipenuhi dengan perbalahan terbuka dan pertikaman lidah yang tiada kesudahan.

“Pada saat rakyat bergelut dengan isu sara hidup, akses terhadap perkhidmatan asas dan masa depan anak-anak mereka, sebahagian pemain politik masih ghairah berbalas kenyataan dan berteka-teki kuasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Katanya, walau apapun yang ingin diperjuangkan, termasuk isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) atau mahupun semangat Sabah untuk orang Sabah, ia harus dilihat dalam kerangka yang lebih inklusif.

Anil berkata, isu hak dan masa depan Sabah bukan hak eksklusif mana-mana parti, sebaliknya ia adalah amanah bersama, tanggungjawab kolektif semua pihak yang mengaku sebagai pejuang rakyat.

“Oleh itu, saya menyeru semua pihak agar menghentikan naratif sempit dan sentimen perpecahan yang hanya mengelirukan rakyat.

“Perpaduan, kematangan dan kesungguhan untuk memajukan negeri ini harus menjadi asas kepada segala tindakan kita.

“Cukuplah kita memperdagangkan persepsi, kini masanya untuk membina semula kepercayaan rakyat dengan kerja, bukan cuma cakap,” katanya. – Info X