Search

Nasib pesawah, infrastruktur sawah, tahap sara diri jadi bahan debat

May 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pemimpin kerajaan menolak dakwaan pembangkang yang menuduh kerajaan hanya berjanji kosong mengenai usaha membantu pesawah di negeri ini.

Pembantu Menteri Kerja Raya negeri, Datuk Robert Tawik, berkata pihak pembangkang hanya memperalatkan kemiskinan luar bandar demi meraih keuntungan politik.

“Kami tidak mempolitikkan kemiskinan, kami menanganinya. Sementara orang lain sibuk mengadakan sidang media dan menabur tuduhan, kami bekerja bersama petani di lapangan untuk membawa perubahan yang nyata dan boleh diukur,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau membidas Ketua Pemuda UMNO Sabah, Sufian Abdul Karim yang mengecamnya kerana didakwa mempergunakan nasib petani untuk menaikkan imej politik tanpa menawarkan penyelesaian sebenar.

Robert berkata, tuduhan yang dilemparkan terhadapnya itu tidak berasas, selain berunsur oportunis.

Robert Tawik.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bingkor itu mempertahankan inisiatif kerajaan, termasuk peruntukan RM36 juta di bawah IADA Kota Belud dan menegaskan bahawa pelaksanaan projek sudahpun berjalan.

“RM36 juta itu bukan bahan propaganda untuk tajuk utama. Dana tersebut telahpun disalurkan kepada inisiatif konkrit, daripada mitigasi banjir dan naik taraf sistem perparitan, hinggalah pemulihan tanah. Ini adalah kerja fizikal yang boleh dilihat dan dimanfaatkan oleh petani,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa pengkritik sering kali memilih untuk menyalahkan tanpa mengambil kira masalah sistemik yang telah lama membelenggu sektor padi Sabah.

“Semua orang mahukan hasil segera tetapi kami sedang membersihkan kesan pengabaian selama beberapa dekad.

“Membaiki sistem pengairan rosak, memulihkan tanah terbiar dan membina infrastruktur pertanian mampan memerlukan masa dan koordinasi, ini bukan retorik politik,” katanya.

Mengulas kritikan Sufian terhadap tahap sara diri beras (SSL) Sabah yang berada pada paras 22.8 peratus pada tahun lalu, Robert berkata, adalah tidak tepat untuk menggunakan statistik tanpa konteks.

Katanya, adalah mengelirukan untuk menyalahkan SSL semata-mata sebagai tanda kegagalan tanpa mengakui hakikat bahawa Sabah amat bergantung kepada dasar Persekutuan dan mengalami kekurangan pelaburan selama berdekad.

“SSL bukan masalah seorang individu dan bukan sesuatu yang boleh diselesaikan dengan slogan,” katanya.

Beliau mendakwa Sufian cuba menulis semula sejarah dan mengalihkan perhatian daripada kegagalan pentadbiran terdahulu.

“Siapa yang berkuasa ketika sistem saliran gagal dan tanah dibiarkan terbiar? Siapa yang mengabaikan infrastruktur di luar bandar Sabah selama bertahun-tahun, sedangkan tumpuan diberi kepada pertunjukan politik? Sekarang kita terpaksa menanggung akibat pengabaian itu,” katanya.

Robert turut mengecam kenyataan Sufian yang menyamakan pembangunan dengan ‘majlis perasmian’ dan menyifatkannya sebagai penghinaan terhadap petani yang bekerjasama dengan Kerajaan untuk memperbaiki kehidupan mereka.

“Jangan rendahkan martabat petani dengan mengatakan mereka hanya melihat majlis, mereka tahu apa itu kemajuan sebenar.

“Kami memperkasakan mereka dengan akses yang lebih baik, peralatan yang lebih baik dan infrastruktur yang lebih baik. Kalau anda tidak nampak, itu kerana anda terlalu sibuk berkempen,” katanya.

Beliau turut menyeru agar semua pihak bersatu dan memberi amaran agar tidak menjadikan petani sebagai alat politik.

“Kami sedia bekerjasama dengan sesiapa saja yang benar-benar mahu memajukan komuniti petani tetapi bukan dengan mereka yang melihat setiap isu sebagai peluang bergambar atau bahan politik.

“Ini bukan soal siapa paling lantang tetapi siapa yang mampu melaksanakan,” katanya. – Info X