KOTA KINABALU: Seorang wanita warga emas dan cucunya rentung selepas dipercayai terperangkap dalam kebakaran di Kampung Pulau Penampang, Manggatal di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, mangsa Ruslia@Gisis Guntamas, 80, ditemui berada berhampiran cucu perempuannya Joeynita Abdul Alip, 14 tahun.
Difahamkan, rumah berkenaan dihuni oleh enam sekeluarga namun empat daripada mereka berjaya menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Kasim Muda ketika ditemui di lokasi berkata, mayat kedua-dua mangsa akan dihantar ke Jabatan Forensik Hospita Queen Elizabeth I (HQEI) untuk membantu siasatan lanjut.

Katanya, pihaknya masih menunggu laporan lanjut daripada Pasukan Forensik Bomba untuk mengetahui punca sebenar kejadian.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Negeri, Muhammad Taqiuddin Victor Doon berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 5.22 pagi.
Katanya, sepasukan 27 anggota dan pegawai termasuk pasukan bantuan dari BBP Lintas bersama jentera serta Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.
“Sebaik tiba di lokasi mendapati, kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis kekal di Lorong Gusin 3, yang terbakar hampir 90 peratus.
“Pasukan Bomba terus melaksanakan operasi pemadaman dan kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.55 pagi,” katanya ketika ditemui di lokasi kebakaran, di sini, hari ini.

Menurutnya, makluman dari penghuni rumah, dua orang mangsa iaitu seorang wanita warga emas dan seorang remaja perempuan telah terperangkap di dalam rumah berkenaan.
“Sebaik api dipadamkan, mangsa pertama berjaya ditemui pada jam 7.13 pagi sebelum cucunya dikeluarkan 20 minit selepas itu.
“Operasi mengeluarkan mangsa kemudian dijalankan dan mayat kedua-dua mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.43 pagi dan punca kejadian dan nilai kerugian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X