SANDAKAN: Lima individu yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki meminta dan menerima rasuah RM300,000, semalam, direman tujuh hari hingga 28 Mei ini.
Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Siti Aisyah Umar Baki selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Sandakan, di sini, pagi tadi.
Daripada lima suspek lelaki yang berumur 30 tahun hingga 50-an itu, empat ialah bekas pegawai bank.
Mereka disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik syarikat sebagai dorongan untuk meluluskan permohonan pinjaman kewangan dengan menggunakan dokumen sokongan palsu.
Semalam, semua suspek ditahan antara jam 2 petang hingga 7 malam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Cawangan Sandakan.
Menurut sumber kelima-lima suspek disyaki melakukan perbuatan itu antara 2022 hingga 2024 yang membabitkan kelulusan pinjaman pembiayaan bernilai kira-kira RM11.3 juta daripada 39 pemohon.
“Kesemua suspek juga dipercayai menerima wang rasuah secara tunai dan melalui transaksi pindahan ke akaun bank masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk Karunanithy Y Subbiah ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 16(a(A) Akta SPRM 2009. – Info X