Search

305 PATI warga Indonesia dihantar pulang

May 22, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar pulang seramai 305 pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negara asal menerusi Program Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal, hari ini.

Semua PATI warga Indonesia berusia sebulan hingga 82 tahun adalah tahanan dari Depot Imigresen Kota Kinabalu dan Papar.

Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua tahanan PATI dipindahkan ke destinasi asal iaitu Nunukan, Indonesia menggunakan feri Francis Express dan Purnama Express.

Katanya, kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan ini turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga yang sah.

“Semua PATI yang dihantar pulang terdiri daripada 196 lelaki dewasa, 53 wanita dewasa, 27 kanak-kanak lelaki dan 29 kanak-kanak perempuan.

“Mereka sebelum ini ditahan di Depot Imigresen, selesai menjalani hukuman atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sebahagian PATI yang dihantar pulang ke negara asal melalui Terminal Feri Tawau.

Menurutnya, semua tahanan PATI ini akan disenarai hitamkan dalam sistem JIM mengikut jenis kesalahan yang dilakukan.

“Pada 2025 sehingga ke hari ini, seramai 1,046 tahanan PATI warga Indonesia direkodkan pulang ke negara asal melalui pengangkutan laut dan menjadikan jumlah keseluruhan seramai 5,916 warga asing telah berjaya dipindahkan ke negara asal.

“Kekerapan pelaksanaan program pemindahan tahanan PATI warga Indonesia oleh JIM Sabah adalah tertakluk dengan pengeluaran Sijil Perjalanan Laksana Paspor (SPLP) secara berterusan oleh pihak Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Malaysia,” katanya.

Katanya lagi, operasi pemindahan tahanan ini adalah sebahagian daripada operasi berterusan JIM Sabah yang dijalankan dari semasa ke semasa bagi semua tahanan yang ditempatkan di depot-depot JIM Sabah untuk mengelak tempoh penahanan yang panjang.

“JIM tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.

“Tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.

“Ia termasuk individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub mengikut Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Sehubungan itu, SH Sitti Saleha berkata, pihak menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.

Katanya, jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pati di negara ini. – Info X