TAWAU: Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai menendang dan menumbuk bekas isterinya sehingga cedera dalam kejadian di kawasan Balung, di sini, semalam.
Suspek berusia 37 tahun terbabit ditahan oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau menerusi Op Cantas Mega.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 8 malam apabila suspek datang ke rumah mangsa sebelum berlaku pertengkaran.
Katanya, mangsa kemudian meminta suspek pulang kerana mereka sudah tidak mempunyai hubungan suami isteri lagi.
“Suspek yang berang mendengar ayat itu bertindak ganas dengan menendang perut dan menumbuk bahagian kepala mangsa hingga menyebabkan kecederaan.
“Hasil maklumat awal, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau berjaya menahan suspek untuk siasatan lanjut,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 323/326A Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.
“Suspek juga boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 326A memperuntukkan hukuman penjara dua kali ganda tempoh maksimum atas sabitan kesalahan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya. – Info X