Search

3 warga Filipina dipenjara setahun, denda RM200,000 miliki hasil penyu

May 26, 2025

Info X Reporters

KOTA MARUDU: Tiga lelaki warga Filipina masing-masing dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM200,000 atas kesalahan memiliki hasil penyu, dua tahun lalu.

Hukuman itu dijatuhkan selepas ketiga-tiga tertuduh dihadapkan di Mahkamah Majistret Kota Marudu, di sini, pada Isnin.

Jika gagal membayar denda yang ditetapkan, ketiga-tiga mereka perlu menjalani lapan bulan lagi hukuman penjara.

Berdasarkan fakta kes, ketiga-tiga tertuduh dikesan memiliki 865 kilogram (kg) hasil penyu hijau ketika ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 27 September 2023.

Mereka ditahan di perairan berhampiran Simpang Mengayau, Kudat, sebelum kes diserahkan kepada Jabatan Hidupan Liar Sabah untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Ketiga-tiga tertuduh kemudian didakwa mengikut Seksyen 41(1) Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997, yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman lebih berat bagi kesalahan memiliki hasil hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya.

Sebelum itu, kesemua tertuduh turut berdepan tindakan di bawah Akta Imigresen. – Info X