Search

Kempen keselamatan “Let’s Be Safe” pupuk kesedaran pelajar di Kota Belud

May 27, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Seramai 500 pelajar dari sembilan buah sekolah menengah di sekitar daerah ini telah berkumpul untuk menyertai satu program kesedaran keselamatan bermakna dan interaktif dikenali sebagai Kempen Keselamatan “Let’s Be Safe”, pada Selasa.

Dipacu oleh syarikat minyak dan gas Hibiscus Petroleum, program itu telah dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS) melalui Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud, serta mendapat sokongan daripada pihak polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Bertempat di SMK Usukan, program setengah hari itu bertujuan untuk memupuk budaya keselamatan dalam kalangan pelajar tingkatan tiga yang merupakan kumpulan umur penting ketika mereka mula menjadi lebih berdikari dalam kehidupan seharian.

Sekolah-sekolah yang terlibat termasuklah SMK Usukan, SMKA Tun Said, SMK Taun Gusi, SMK Taun Gusi II, SMK Arshad, SMK Narinang, SMK Tambulion, SMK Pekan dan SMK Pekan II.

Program itu menampilkan demonstrasi interaktif dan ceramah informatif yang direka untuk membantu pelajar memahami aspek keselamatan diri, pencegahan kemalangan dan kesedaran terhadap risiko, sama ada dalam talian mahupun luar talian.

Antara tarikan utama kempen ini adalah demonstrasi secara langsung oleh anggota bomba yang menunjukkan tindakan perlu diambil ketika berlakunya kebakaran dan langkah pencegahan, selain demonstrasi cara menunggang motosikal yang selamat.

Pelajar turut mendengar ceramah daripada pihak polis berkaitan keselamatan media sosial yang menyentuh isu buli siber, buli fizikal dan penipuan dalam talian.

Selain itu, Jabatan Bomba dan Penyelamat juga menyampaikan ceramah mengenai keselamatan kebakaran dan persediaan menghadapi bencana alam, khususnya banjir.

Sesi kesedaran mengenai cara menunggang dengan selamat turut diadakan untuk memupuk sikap bertanggungjawab dalam kalangan penunggang motosikal muda.

Kempen itu membawa mesej utama bahawa keselamatan ialah amalan seumur hidup dan kesedaran terhadap risiko di pelbagai persekitaran termasuk di sekolah, di rumah dan di tempat awam kerana ia adalah kunci untuk kekal selamat.

Para pelajar juga digalakkan untuk mengenal pasti potensi ancaman dan mengambil langkah proaktif bagi melindungi diri sendiri dan orang lain.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sabah, Datuk Haji Raisin bin Saidin, yang merupakan tetamu kehormat, menekankan kepentingan inisiatif ini dalam memupuk pemikiran yang mengutamakan keselamatan dalam kalangan golongan muda di mana jua mereka berada.

Raisin berharap, murid dapat memupuk kesedaran, kemahiran dan pemikiran yang mengutamakan keselamatan pada setiap masa bagi membolehkan mereka menumpukan perhatian terhadap pembelajaran dan seterusnya kemenjadian murid.

“Tiga fokus utama bagi program tahun ini iaitu Kesedaran Media Sosial termasuk kesedaran tentang buli siber dan buli fizikal; Kesedaran Keselamatan Menunggang Motorsikal atau ‘safe riding’; dan Kesedaran Pencegahan Api dan Bencana Alam (Banjir) seiring dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia yang sentiasa memastikan murid Sejahtera dan selamat.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Hibiscus Petroleum, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Belud dan semua pihak yang telibat menjayakan kempen kesedaran ini.

“Kerjasama antara jabatan dan agensi kerajaan dengan pihak swasta merupakan contoh yang baik bagaimana pelbagai sektor boleh bekerjasama untuk membentuk generasi yang lebih selamat dan berpengetahuan,” katanya.

Teks ucapan beliau disampaikan Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Murid JPNS, Charles Lawrence @ Muhammad Ariffin.

Sementara itu, Pemangku Ketua Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar (HSSE) Sabah, Hibiscus Petroleum, Mohammad Hatta Mansor berkata, kempen itu adalah sebahagian daripada usaha syarikat dalam meningkatkan kesedaran keselamatan dalam kalangan generasi muda.

Menurutnya, kempen berkenaan menyampaikan mesej dan panduan keselamatan iaitu satu komponen penting dan keutamaan dalam operasi harian Hibiscus Petroleum.

“Kempen ini direka sebagai platform penyampaian mesej keselamatan, dengan memberi fokus kepada isu dan ancaman yang berkaitan dengan keselamatan diri di rumah, di sekolah, di tempat awam, dan dalam talian.

“Kempen ini direka sebagai satu landasan, bagi penyebaran mesej-mesej keselamatan, yang tertumpu kepada isu-isu, dan ancaman keselamatan diri di rumah, di sekolah dan di persekitaran awam dan juga di alam maya.

“Ini bertujuan untuk membantu pelajar sekolah menengah kerana mereka inilah merupakan kumpulan sasaran yang memerlukan bimbingan serta pendedahan awal tentang keselamatan diri; seperti peribahasa Melayu; melentur buluh, biarlah dari rebungnya,” katanya.

Hatta turut menyeru agar semua pelajar, yang kini bergelar “duta keselamatan” selepas menyertai Kempen Keselamatan itu, agar terus mengamalkan tip keselamatan yang telah dipelajari serta menyebarkan kesedaran keselamatan kepada rakan-rakan dan ahli keluarga mereka.

Turut hadir pada majlis itu Ketua Pegawai Pendidikan Kota Belud, Dr Japran Kusin dan Eksekutif Kanan Perhubungan Komuniti & Kerajaan Hibiscus Petroleum, Durie Rainer Fong. – Info X