Search

Rafizi letak jawatan Menteri Ekonomi

May 28, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Setelah tewas pemilihan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd Rafizi Ramli hari ini menunaikan janjinya meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi.

Menerusi satu kenyataan hari ini, Rafizi mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa pada 17 Jun depan.

“Saya telah menghantar surat peletakan jawatan dari Jemaah Menteri kepada YAB Perdana Menteri.

“𝗣𝗲𝗹𝗲𝘁𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗷𝗮𝘄𝗮𝘁𝗮𝗻 𝗶𝗻𝗶 𝗮𝗸𝗮𝗻 𝗯𝗲𝗿𝗸𝘂𝗮𝘁 𝗸𝘂𝗮𝘀𝗮 𝗱𝗮𝗿𝗶 𝟭𝟳 𝗝𝘂𝗻 𝟮𝟬𝟮𝟱. Bermula dari hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun 2025,” katanya dalam kenyataan berkenaan.

Ahli Parlimen Pandan itu berkata, beliau menyertai politik untuk membudayakan politik baharu yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.

Jelasnya, kekalahannya dalam pemilihan PKR baru-baru ini bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat dari parti untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.

“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitik berat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat di dalam kerajaan.

“Saya ingin mengambil kesempatan ini mengucapkan jutaan terima kasih kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi yang telah memberi dukungan penuh kepada saya sepanjang saya di sini.

“Saya telah melihat sendiri kecekapan dan kemampuan sebahagian besar penjawat awam di sini, yang berupaya merangka dasar dan disusuli dengan kerangka program yang berkesan.

“Saya yakin program-program untuk membaiki struktur ekonomi negara yang telah dipelopori oleh Kementerian Ekonomi akan terus dilaksanakan dengan jaya oleh penjawat-penjawat awam,” katanya.

Rafizi berkata, amanah terakhir beliau sebagai Menteri Ekonomi disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen pada sidang yang seterusnya.

Katanya, RMK13 telah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan.

“Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan Kementerian Pendidikan di dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada di dalam Jemaah Menteri.

“Akhir sekali, saya mengambil peluang ini untuk mengucapkan penghargaan kepada rakyat Malaysia, penjawat awam, pihak swasta, pihak media dan semua pemegang taruh yang pernah berurusan sepanjang saya menjadi Menteri Ekonomi.

“Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh.

“Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan,” katanya.

Rafizi tewas kepada Nurul Izzah Anwar bagi jawatan Timbalan Presiden PKR pada pemilihan parti itu yang berakhir pada hujung minggu lalu. – Info X